Pages

Tuesday, November 30, 2010

Perang

SEKELOMPOK besar manusia yang tidak bertamadun mendiami sebuah lembah. Berkulit agak hitam dan bercawat. Mereka tidak berbuat apa-apa. Hanya duduk dan termenung dalam kelompok masing-masing. Mereka adalah puak pelarian yang ramai iaitu saki baki manusia yang terselamat dari bencana peperangan yang meletus di daerah Niadam. Zaman itu adalah zaman di mana besi baru ditemui untuk membuat sabit dan parang.

Lembah yang di diami itu berumput hijau saujana mata memandang. Panas dan redup bersilih ganti.

Semua manusia di situ seolah menanti kehadiran seseorang untuk menerima arahan daripadanya.

Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berjalan mundar-mandir sambil tangannya memegang hujung tali.Kelihatan dia sedang menarik seekor unta yang agak berisi dan terikat seutas tali pada lehernya.

Dia datang dengan membawa pengkhabaran:

"Wahai pengikutku,beberapa hari lalu aku telah pergi meninggalkanmu untuk mengadap
Tuhanku. Tuhanku telah memberikan aku seekor unta sepertimana yang kamu lihat. Dia berpesan supaya kita menjaganya dengan baik. Aku perlu kembali ke sana untuk menyerah diri padaNya, kerana aku adalah Utusan Rahmat."
Lalu dia menyerahkan tali yang dipegangnya kepada salah seorang pengikutnya bernama Wakil.Seorang pemuda yang kelihatan cergas dan bertenaga.Sedikit putih kulitnya berbanding yang lain. Utusan Rahmat membisikkan sesuatu kepada Wakil. Kemudian, Wakil mengheret unta tersebut dengan penuh belas menuju ke tengah lembah, di cerun bukit yang sedikit landai.Orang ramai berkerumun untuk melihat unta tersebut.Semakin lama semakin ramai orang menghurung unta tersebut seolah menghadiri suatu pesta. Dari riak wajah mereka terserlah keriangan kerana Utusan Rahmat telah sampai kepada mereka dengan membawa pengkhabaran gembira. Mereka sangat berharap sangat agar unta tersebut dapat memberi manfaat kepada mereka pula.

Seru seorang wanita:"Unta ini cukup berisi dan dapat memberi susunya kepada kita kalau diperah."

"Ya, betul kata kau,"kata seorang lelaki.

"Kita hendaklah menjaga dan melayan unta ini sebagaimana kita menjaga dan melayan diri kita."

"Ya. Apa ditunggu lagi.Mari kita perah susunya untuk kita minum.Kita akan menjaga dan melayan unta ini sebagaimana kita melayan ibu kita yang memberi kita minum dari susunya sewaktu kita kecil dulu."

"Syukurlah kamu memahami kehendakku. Letakkan unta ini di bawah suatu tempat yang teduh dan kamu bolehlah mengambil manfaat daripadanya. Aku perlu kembali kepada tuan ku untuk seketika untuk suatu urusan. Aku tinggalkan unta ini kepada kamu dan ingat pesan tuan supaya menjaganya dengan baik. Salam."

Wakil berpusing ke belakang dan berjalan mendaki bukit menuju ke arah bukit. Dia tidak menoleh ke belakang lagi.Ekor mata pengikutnya memerhati sosok badan Utusan Rahmat dan Wakil sehingga hilang dari pandangan.

“Nah, apa lagi yang kamu tunggu. Aku tidak sabar untuk meminum susu unta,” kata seorang lelaki disahut hilai tawa orang yang berada di sekelilingnya. Pondok ini sudah sangat baik bagi seekor unta yang mulia ini. Seseorang perlu menjaganya, dan Wakil adalah penjaganya. Tetapi dia tiada buat seketika kerana suatu urusan bersama Tuan.

Siapa mahu susu?”

“Aku, aku, aku,” kata seorang perempuan.

“Aku mahu juga,” kata seorang lelaki.

Suasana menjadi hingar buat seketika. Mereka saling berteriak kerana mahukan susu unta.

“Hoi,Diam! Kalian semua perlu bersabar.Setiap orang akan merasa. Seorang demi seorang.Aku kira wanita perlu didahulukan.Bukan begitu?”

Seorang wanita yang sedang sarat mengandung separuh berteriak:

“Ya, benar.Wanitalah yang perlu didahulukan.”

Wanita tersebut tampil membawa bejana kosong. Dia memerah tetek unta tersebut dan keluarlah susu cair memutih mencurah mengisi bejana tersebut. Setelah berpuas hati, dia meneguk susu tersebut. “Wah,sedapnya susu ni!” katanya separuh berteriak.

“Benarkah? Bagilah kami rasa pula.” kata seorang lelaki tegas bersuara memecah keheningan.

“Nanti dulu.Berilah peluang kepada semua ibu mengandung untuk merasa. Biar golongan mereka di dahulukan. Orang yang dahulu perlu didahulukan,” kata seorang lelaki yang sangat tua.

“Setuju,” suara ramai bergema.

Seorang lelaki separuh usia tiba-tiba bersuara, “Tetapi kita ramai,mampukah seekor unta memberi minum kepada kita semua?”

“Mampu atau tidak kita lihat sahaja nanti. Kalau kau mahu juga, kau mengandunglah dahulu.”

“Ha,ha,ha.” Semua ketawa berdekah-dekah.Wanita mengandung tadi tunduk tersipu-sipu malu. Dia meneruskan minuman hingga ke tegukan yang terakhir.

“Syukurlah, aku telah kenyang. Susu ini sangat sedap dan mengenyangkan perutku. Anakku di dalam perutku ini juga telah kenyang,” kata wanita mengandung tersebut sambil memegang perutnya.

“Benarkah?Boleh aku pegang perut kau?Aku ingin tahu adakah anakmu itu telah benar-benar kenyang,” kata seorang pemuda sambil ketawa dan disahut oleh ketawa kawan-kawannya.

“Suamiku sahaja yang boleh, kau tidak boleh,” kata wanita mengandung itu sambil mencebikkan bibirnya.

“Ayuh, siapa lagi wanita yang sedang mengandung sila ke sini!” Tangan kanannya menekup ke mulut dan melaung sekuat hati.

Lalu seorang demi seorang tampil sambil mengilir bejana yang diperbuat dari tanah liat itu. Mereka berebut-rebut menadah susu di bawah celah kangkang unta.

“Seorang demi seoranglah…” Kata wanita mengandung itu.

Mereka akur. Mereka seolah-olah terikut disebabkan kata-katanya yang lemah lembut itu.

“Semua akan merasa.Kita lihat sajalah teteknya yang kembang dan perutnya yang buncit itu.Pasti banyak susu di dalamnya.” Kata wanita itu lagi.

Sang mentari telah sirna cahaya. Sehingga lewat senja, suasana orang berkerumun masih belum reda. Masih ramai lagi orang belum dapat minum susu. Ada yang sekadar cuba-cuba, ada yang meminta-minta kerana sangat dahaga. Semua peringkat daripada wanita, kanak-kanak,orang tua, remaja, pemuda dan lelaki dewasa masih berpusu-pusu mengerumuni sang unta yang seekor itu.

“Kalau macam inilah gayanya, sampai lusapun takkan habis semua orang merasa. Apakata kalau kita belah sahaja perut unta itu dan bahagikan susunya, sama adil sama rasa. Aku pun tak puas minum lagilah,” kata seorang pemuda.

“Eh, kau gila ke? Matilah unta tu nanti. Kau bukan tak tahu, kita kena menjaga dan melayannya sebaik mungkin, macam kata Wakil.”

“Itu kata dia, bukan kata tuan kita.”

“Kau jangan. Entah-entah tuan suruh Wakil memberitahu kita, macam yang dibisikkan padanya hari tu. Kita tunggu sajalah sehingga Wakil tiba.Kita akan bertanya padanya.”

“Itu lagi gila. Takkan benda sebegitu kita nak tanya padanya.” Mereka mengangguk lesu. Nafsu jahat mula menguasai jiwa masing-masing. Masing-masing merancang sesuatu dalam benak fikiran.

“Alangkah baiknya kalau kita dapat belah perut unta itu. Kalau tidak cukup kita belah pula perut ibu yang mengandung.Tentu banyak susu di dalamnya.” Saranan itu mula berjangkit.

Mereka sepakat. Seia-sekata. Mereka menyambar bilah parang masing-masing dan menuju ke arah unta tersebut. Sedang matahari memuncak di atas kepala, dengan rakusnya kumpulan lelaki tersebut menghampiri unta yang kelihatan masih cergas. Lalu disuakan bilah parang dan di kelarkan pada leher unta tersebut seolah upacara korban. Darah berceceran dari leher unta. Unta yang mulia itu menggelupur kesakitan dan mati. Lalu dibelahnya perut unta dan dikeluarkan isi perutnya dengan penuh kezaliman dan rasa ingin tahu.

“Mana susunya?Tak ada langsung.Hanya darah dan isi perut sahaja.”

“Perut punyalah besar membusung tapi tak ada susu. Macam mana ni?”

“Kau silap belah kot? Kenapa kau sembelih unta itu.Sepatutnya kau terus belah perutnya semasa dia masih hidup. Ini semua salah engkau.” Dia melihat kepada lelaki itu dengan rasa kemarahan. Merah padam mukanya.

Tanpa berfikir panjang, dia terus menetak leher lelaki tersebut lalu mati. Dia menjuihkan mulutnya kepuasan sambil nafasnya keluar masuk dengan kencang.

“Padan muka. Rasakan.”

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang, kawan-kawan?”

“Kita tunggu Wakil tiba,” kata salah seorang daripada mereka. Lemah dan tidak bermaya.

Matahari semakin memancar terik di kepala. Masing-masing terjelepuk kepanasan. Ada yang menjelirkan lidahnya seperti anjing kehausan.

“Ah, aku haus sekarang.Apa yang perlu kita lakukan? Kita akan mati kehausan kalau terus begini.”

Mata seorang lelaki yang kehausan itu melirik ke arah seorang wanita yang sedang sarat mengandung. Perutnya membusung menonong ke hadapan.

“Mengikut telahanku, ada banyak susu dalam perut wanita tu. Apakata kita belah perutnya dan ambil susu darinya?”

“Setuju.”

“Kita tunggu sahaja Wakil tiba dan bertanya padanya.”

“Kau gila. Kita tidak perlu menunggu lagi. Sudah berhari-hari kita menahan lapar dan dahaga. Dia tidak sampai-sampai. Kita tidak perlu menunggunya lagi. Ayuh, kita belah perut wanita itu sebagaimana kita lakukan pada unta itu.”

Tanpa berkira-kira lagi, sepantas kilat lelaki yang masih berlumuran darah itu menyambar parang yang ada di sisinya dan membelah perut wanita yang buncit itu tanpa usul periksa lagi, sambil kawan-kawannya yang jahat itu memegang tangan dan kakinya. Wanita itu menjerit kesakitan sekuat hatinya meminta tolong. Mata-mata melihat tanpa perasaan. Hanya diam membisu dan memerhati apa yang akan berlaku. Mereka sudah tidak berdaya untuk menahan. Mereka semua telah terpedaya dengan omongan kumpulan lelaki tersebut yang telah tersebar beberapa hari lalu. Mereka berkerumun melihat wanita yang telah dibelah perutnya. Darah merah terpercik ke kakinya dan sekitar tempat ‘penyembelihan.’

Raungan demi raungan kedengaran. Seorang demi seorang wanita mengandung di belah perutnya tanpa belas kasihan. Walaupun tiada susu, mereka tetap melakukannya. Dalam ketidakpastian mereka melakukan ‘jenayah’ itu kerana mahukan kepastian. Mereke terus dirundung kehampaan dan kekecewaan. Mereka menggunakan berbagai cara untuk mengesahkan tindakan mereka. Ada yang terus dibelah perutnya, ada yang hanya di potong sebelah buah dadanya, ada yang di potong kedua-dua belah dadanya.

“Aduh, sudah puas kita membelah perut semua wanita mengandung yang ada di sini.Tapi semua tidak berguna.Apa yang perlu kita lakukan?”

Dalam kegemparan yang sedang berlaku, ada seorang kanak-kanak yang kematian ibunya meloloskan diri mencari Wakil. Dia menemui Wakil di balik bukit sana dan memberitahu segala peristiwa yang telah berlaku sambil menangis teresak-esak. Segalanya diceritakan termasuk siapa yang memulakan peristiwa gila tersebut. Wakil segera meninggalkan Utusan Rahmat tanpa memberitahunya. Dia telah menyedari kesilapannya meninggalkan kaumnya. Tanpa memberitahu Utusan Rahmat, dia segera bergegas ke arah lembah kediaman kaumnya. Perjalanannya memakan masa berhari-hari. Lewat tengahari barulah dia sampai ke tempat tersebut. Setibanya ke lembah tersebut, matanya terpaku pada keadaan di hadapannya. Kemelut pembunuhan sedang bermaharajalela. Mayat-mayat bergelimpangan, kemerahan dan membusuk.

Perasaan gentar dan takut di lawannya. Dia segera menerjah dan menghalang seorang wanita yang memegang parang kerana ingin membunuh seorang lelaki yang membunuh suaminya.

“Hei, hentikan kegilaan ini.Mengapa kamu berlaku sebegini rupa sedangkan aku tiada di sini. Bukankan aku telah meninggalkan amanah kepadamu supaya kamu menjaga dan melayan seekor unta dengan sebaiknya. Mengapa kamu berbunuh-bunuhan pula kerana seekor unta. Ya Tuhan…apa yang telah berlaku kepada kaumku.”

Wakil segera melepaskan tangan wanita tersebut dan menekup mukanya sambil menangis teresak-esak. Semakin lama semakin kuat esakannya. Semua orang dan kanak-kanak menangis sama sambil mendakap Wakil dan ibu-bapa masing-masing.

Wanita tersebut berkata:“Wahai Wakil, kau telah terlambat. Ramai orang telah mati disebabkan engkau. Engkau telah meninggalkan kami dalam keadaan serba daif dan memerlukan. Kami amat kehausan dan kelaparan serta memerlukan engkau tetapi engkau telah meninggalkan kami sekian lama.”

Wakil telah menyedari bahawa peristiwa pembunuhan telah berjangkit daripada seekor unta kepada manusia. Dia segera bertafakur dan menghela nafas sedalamnya untuk mencari kekuatan baru. Dia perlu bangkit dari kelemasan sebak tangisan yang dihadapinya.

“Aku mesti berikhtiar untuk memulihkan keadaan ini kerana ia adalah sebahagian daripada ujian Tuhan,” kata Wakil dalam hati.

Dalam suasana hiba tu, gertak seorang lelaki:“Wakil!Kau telah melakukan kesalahan yang besar. Kau telah meninggalkan kami. Tuan kau juga melakukan kesilapan yang besar kerana meninggalkan kami. Peristiwa yang amat dahsyat telah berlaku dalam sejarah bangsa kita setelah kemusnahan Niadam. Kau dan Tuan kau mesti dihukum!”

Beberapa orang memegang tangan wakil. Sebilah sabit di tangan seorang lelaki yang bersiap sedia untuk membunuh Wakil.

“Nanti dulu!” Suara seseorang bergema di hujung cerun bukit.

Dia berlari-lari anak menuju ke kelompok manusia tersebut. Dia adalah Utusan Rahmat.

“Jangan terburu-buru. Biar aku selesaikan masalah kamu.” Mereka menceritakan kepada Utusan Rahmat satu persatu.

“Kita semua betul .Kita semua melakukan perkara yang betul,” kata Utusan Rahmat.

“Kita? Kita betul?Tidak. Hanya kami semua yang berada di sini betul. Kau dan Wakil yang salah. Wakil salah kerana meninggalkan kami dan kau bersalah kerana menyuruh wakil bersamamu bahkan meninggalkan kami,” kata seorang lelaki.

Utusan Rahmat menegakkan badan dan mengangkat kepala setelah terdiam seketika dan berkata:

“Aku tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku. Aku rasa terkilan kerana unta itu mati dibunuh. Aku kecewa kerana kamu saling berbunuhan. Wanita mengandung yang tidak berdosa telah menjadi mangsa. Tetapi aku tidak menyalahkanmu. Mereka yang telah mati itu telah berlaku zalim ke atas diri mereka. Sedang kita yang masih hidup ini betul hendaknya.”

“Apakah yang engkau ucapkan ini wahai Utusan Rahmat?Cuba beritahu kami,”kata seorang pemuda. Mereka yang lain terkedip-kedip kehairanan mendengar ucapan Utusan Rahmat. Mereka menunggu jawapan dari Utusan Rahmat dengan penuh minat.

“Mari ikut aku.”

Maka pengikut-pengikutnya yang ramai itu mengekori Utusan Rahmat menuju ke arah sepohon pokok. Utusan Rahmat memanjat pohon itu dan menurunkan sebuah sarang burung ditangannya.

“Sekarang,aku ingin tanya kalian. Adakah burung ini diberi makan dan minum?”

Mereka melihat ke arah sarang burung tersebut. Di dalamnya terdapat seekor burung yang sedang mengeramkan telurnya sambil mencicip-cicip.

“Adakah burung ini mendapat manfaat dari unta yang ku tinggalkan? Tidak bukan? Tapi burung ini dapat hidup tanpa mati kelaparan.”

Utusan Rahmat mengeluarkan sebiji pisang emas dari sakunya dan memberi makan kepada burung tersebut. Kemudian dia memberi minum sedikit susu daripada kantungnya.

“Aku tahu tiada seorang daripada kamu memberi makan atau minum kepada burung ini. Ia adalah seekor haiwan yang mendiami kawasan kamu, tetapi ia langsung tidak mendapat manfaat daripada unta mulia yang daku tinggalkan. Susunya tidak akan habis walau di minum oleh sekalian kamu, walau beribu orang sekalipun. Pokoknya kamu hendaklah bersabar menunggu giliran. Sepatutnya kamu berperlakuan seperti burung ini. Dia mencari makan sendiri dan mengeramkan telurnya. Kelihatan burung ini sedang bunting. Nah, sekarang belahlah perutnya untuk mengambil susu darinya.”

“Tiada susu dari perutnya, wahai utusan Tuhan.”

“Sudah tentu tiada susu dari perutnya. Sekarang kamu semua betul kerana mengetahui kenyataan.”

“Ya kami sudah mengetahui. Engkau telah menyedarkan kami dari kebodohan. Kami telah bersalah wahai Utusan Rahmat, maka hukumlah kami.”

“Tidak, kamu semua tidak dipersalahkan dalam keadaan kamu yang tidak mengetahui. Sekiranya berlaku kesilapan lagi selepas ini, maka kamu semua akan dipersalahkan.
Wakil, kamu mesti betulkan keadaan ini, kerana kamu bersalah meninggalkan mereka dalam tempoh yang lama.”

Wakil yang lama diam membisu tunduk melihat bumi. Dia mendongak semula melihat ke arah orang ramai dan berkata: “Pergilah mengambil parang, sabit dan semua alatan kamu.Kamu semua mesti bekerja seperti sedia kala untuk menyara kehidupan dan mencari makan. Janganlah duduk bersahaja dan mengharapkan ‘hujan emas turun dari langit’ atau ‘bulan jatuh ke riba.’ Aku harap kamu mengerti maksudku.”

Mereka mendengar kata-kata Utusan Rahmat dan Wakil yang penuh hikmah itu. Mereka kembali menggali telaga dan parit, mengerjakan tanah yang kering-kontang dan mengairi tanaman. Parang dan sabit yang dicipta tidak lagi digunakan untuk membunuh tetapi untuk mengerjakan tanaman, mencari hasil hutan dan berburu. Tidak lama kemudian, mata gergaji dicipta dan ianya digunakan untuk menggergaji batang pokok dan dahan untuk membina tempat berteduh. Generasi selepas itu lebih bertamadun dan menggunakan akal fikiran, tidak lagi berharap semata-mata kepada bilah-bilah parang, sabit dan seekor unta. 

3 comments:

.::: Princess MOMOY :::. said...

thx sharing
nice entry.
namo perang2 tau pasni

Hydolarc said...

ye cyg...saje post balik story yg penah post kat SP dulu...
hyde namo perang2 ngan chumil pun,manja2 nak la :D:D:D

Aujinz said...

aku ..
sangat..
hebat..
kerana
berjaya
menghabiskan
bacaan
yang
panjang
ini..




fengsan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...